Sampai Menutup Mata - Episod Satu
Matahari sangat terik. Ariel berpeluh. Habis bajunya basah. Hendak sahaja dia patah balik tetapi mengingatkan janji dengan rakan-rakannya, dia redah juga. Bulan Ramadhan hanya beberapa hari sahaja lagi akan tiba. Kalau panas macam ini berpanjangan, alamatnya bulan Ramadhan kali ini penuh dengan dugaan.
Ariel menyusur jalan Bukit Bintang untuk menuju ke Sg Wang. Dia ingin bertemu rakan-rakan lamanya. Sudah lebih 6 bulan mereka tidak "hang-out" bersama-sama. Jika dulu, hampir setiap minggu mereka keluar melepak di restoran-restoran mamak kegemaran mereka. Maklumlah, masing-masing sudah mempunyai pekerjaan yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap bidang masing-masing yang mereka ceburi. Inilah masa yang sesuai kerana semua mempunyai masa lapang pada hari ini.
Sesudah Ariel meletakkan keretanya, dia menuju ke Starbucks. Ramai yang sudah sampai rupanya. Mereka adalah rakan-rakan Ariel sejak sekolah menengah. Kesemuanya berada di dalam kelas yang sama sejak tingkatan 4. "Geng" Ariel terdiri daripada 8 orang semuanya dan yang paling rapat dengan Ariel adalah Azam. Azam dan Ariel menjadi rapat sejak sekolah kerana mereka duduk sebelah menyebelah.
"Apa daaaa Ariel...apsal lambat sampai?" Azam bertanya.
"Sorry laa...tadi aku hantar adik aku gi KL Sentral..korang bila sampai?" Ariel menjawab.
"Aku sampai sejak semalam...hahaha..btol tak Fariq?" Azam berseloroh.
"A'ah la..betul cakap Azam tu.." Jawab Fariq sambil tersengih-sengih. Mereka yang lain hanya tersenyum melihat gelagat Ariel, Azam & Fariq.
Lalu Ariel mencelah...
"Dahhh dahhh...aku datang ni pun sebab rindu kat korang. Dah lama gile tak jumpa."
Mereka kemudian berborak-borak di Starbucks sehingga 2 jam lamanya. Kemudian, masing-masing meminta diri untuk pulang. Ariel pula berjalan-jalan di Sg Wang kerana sudah lama dia tidak berkunjung ke situ kerana terlalu sibuk di pejabat. Ariel sengaja membuat dirinya sibuk kerana tidak mahu mengingati perkara yang telah berlaku suatu ketika dulu. Dan tadi, Azam telah menceritakan sesuatu...
Bekas tunang Ariel, iaitu Falina akan melangsungkan perkahwinannya selepas Hari Raya nanti. Berita itu serba sedikit memeranjatkan Ariel dan pada masa yang sama, dia agak lega tetapi pedih juga hatinya. Sudah hampir 8 bulan tali pertunangan mereka terputus. Falina yang meminta untuk memutuskan pertunangan mereka dengan alasan sudah tidak serasi lagi. Ariel ternyata kecewa dengan keputusan itu. Dia tidak dapat membuat apa-apa selepas itu melainkan membuatkan dirinya sibuk di pejabat. Lama kelamaan, hatinya yang luka kembali tenang sedikit demi sedikit sehingga waktu ini.
"Ahh..biarlah dia kahwin dengan sesiapapun. Aku dah lupakan dia dah. Semoga dia bahagia nanti...Lagipun, buat apa aku nak berada dengan seseorang yang tiada di sisi semasa aku susah dulu?" Ariel berbisik sendirian.
Dalam pada Ariel sedang mengelamun sambil berjalan-jalan di Sg Wang, tiba-tiba..
"Gedebam!..."
Ariel terlanggar bahu seorang gadis yang sedang sarat membawa beg plastik beli belah. Habis barang-barangnya jatuh.
"Maafkan saya dik. Abang tengah khayal tadi." Ariel meminta maaf.
"Takpe bang, saya pun khayal tengok kedai-kedai ni. Saya juga minta maaf sebab langgar abang." Gadis itu menjawab sambil mengutip beg plastik dan barang-barang yang terjatuh.
"Mari saya bantu adik." Ariel menghulurkan bantuan. Orang ramai mula memerhatikan Ariel dan gadis itu.
"Terima kasih ya bang. Maafkan saya sekali lagi." Gadis itu berkata sebelum bergegas beredar.
"Maafkan saya juga." Ariel memberikan senyuman dan gadis itu pun berlalu.
Ariel pun hendak meneruskan perjalanan dan tiba-tiba dia terpandang satu beg plastik kecil yang berada 3 meter daripadanya. Ariel yakin, itu adalah kepunyaan gadis tadi. Ariel mengambil beg plastik tersebut dan mencari semula gadis tadi. Tetapi hampa, gadis tadi sudah lenyap daripada pandangan. Ariel membelek beg plastik tersebut yang mengandungi sebuah kotak jam tangan berjenama. Di dalam beg plastik itu juga ada sebuah resit pembelian. Kebetulan ada tertera nama gadis itu pada resit tersebut kerana dia beli dengan menggunakan kad kredit.
"Nur Melissa Bt Muhammad" Ariel menyebut nama yang tertera di resit tersebut.
"Nampaknya terpaksa lah aku mencari nombor telefon dan alamat rumah Cik Nur Melissa dengan menggunakan resit tadi." Ariel berbisik sendirian.
To be continued......